Sunday 9 December 2012

Bahasa Melayu.



1.0 PENDAHULUAN
Perkataan tatabahasa seperti yang digunakan oleh beberapa orang ahli tatabahasa Melayu moden seperti Daud Baharum dan Li Chuan Siu (1964), Asmah Hj Omar (1968,1972), Lufti Abas (1972), Asraf (1974), Nik Safiah Karim dan Zaharah Buang (1970) adalah sama seperti yang dimengertikan oleh ahli – ahli tatabahasa tradisional yang menyebutnya sebagai nahu. Kedua – dua istilah ‘nahu’ dan ‘tatabahasa’ ini, dalam bahasa Inggeris dinamakan grammar.
Walau apapun pengertian yang diberi, kita tetap memahamkan bahawa tatabahasa atau nahu itu adalah satu bidang yang menerangkan peraturan – peraturan penggabungan kata – kata untuk menimbulkan bunyi dan ayat dengan menggunakan formula dan peraturan – peraturan tertentu.
Walaupun tatabahasa itu tidak merupakan satu mata pelajaran yang diajar secara formal tetapi aspek ini adalah sangat penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran tatabahasa bertujuan menentukan samada sesuatu ayat itu betul atau tidak mengikut peraturan tatabahasa atau resam bahasa itu. Selain daripada itu pengajaran tatabahasa ini penting kepada pelajar dalam peperiksaan kerana soalan – soalannya terkandung juga tatabahasa. Pengajaran tatabahasa ini juga penting dan berguna kepada orang – orang dewasa atau pelajar – pelajar pada peringkat tinggi, terutama bangsa asing, disebabkan mereka lebih suka belajar menerusi undang – undang atau peraturan – peraturan yang tertentu.
Pengajaran tatabahasa biasanya diajarkan secara tidak langsung. Aspek – aspek yang hendak diajarkan itu biasanya ditemui ketika guru menyampaikan pelajaran dalam bacaan, puisi atau  karangan. Segala penerangan atau penjelasan dilakukan dengan bantuan contoh – contoh daripada bahan – bahan tatabahasa itu dalam situasi yang sesuai. Murid – murid diberi latihan dalam bentuk latih tubi untuk menguasai kemahiran tatabahasa yang diajar.
Walaupun pengajaran tatabahasa di sekolah tidak digalakkan diajar secara berasingan, guru – guru masih boleh mengajar dengan memberikan tumpuan khusus kepadanya. Ia disampaikan sebagai satu mata pelajaran yang khusus dalam satu – satu waktu tertentu. Walaupun begitu kemahiran – kemahiran lain seperti membaca dan menulis harus dijalankan serentak iaitu digabungjalinkan  dengan pengajaran tatabahasa itu.
 
2.0 KONSEP TATABAHASA
Tatabahasa sering dianggap orang sebagai subjek membosankan dan menakutkan kerana kononnya tatabahasa terdiri daripada rumus – rumus bahasa seperti subjek matematik. Tatabahasa ialah bahagian yang penting dalam kehidupan kita. Oleh itu pengajaran tatabahasa tidak boleh diajarkan secara terasing, melainkan hendaklah diajarkan dengan strategi penggabungjalinan dan penyerapan. Dalam strategi tersebut perancangan yang rapi dan pemilihan bahan perlu dibuat untuk menunjukkan konteks yang sesuai bagi unsur – unsur tatabahasa yang hendak diajar. Dalam pengajaran di bilik darjah pula, guru perlu melaksanakan pelbagai teknik dan aktiviti yang dapat merangsang murid seterusnya membantu murid menguasai tatabahasa tanpa rasa tertekan atau terpaksa.
Secara umumnya, tatabahasa bahasa Melayu mencakupi dua bidang iaitu ;
·         Bidang Morfologi
·         Bidang sintaksis
2.1 Bidang Morfologi
Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolong kata. Struktur kata bermaksud susunan bunyi ujaran atau lambang yang menjadi unit tatabahasa yang bermakna. Bentuk kata pula ialah rupa unit tatabahasa samada bentuk tunggal atau hasil daripada proses pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan. Penggolongan kata pula ialah proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan latar fungsi dengan anggota lain dalam golongan yang sama.
                        2.1.1 Ayat penyata
                                    * Ayat transitif
                                    * Ayat intransitif
                                    * Ayat aktif
                                    * Ayat pasif
                                    * Ayat nafi
                                    * Ayat songsang
                                    * Ayat inti
                                    * Ayat gabungan
                        2.1.2 Ayat perintah
                        2.1.3 Ayat Tanya
                        2.1.4 Ayat seru

2.2 Bidang sintaksis
Sintaksis merupakan satu bidang bahasa atau cabang ilmu bahasa yang tugasnya mengkaji rumus – rumus yang menerbitkan ayat – ayat gramatis sesuatau bahasa ( bentuk , struktur dan binaan atau konstruksi ayat ). Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat tetapi juga hukum – hukum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat.
            2.2 Golongan kata
                        2.2.1 Kata nama
                                    * Kata ganti nama
                        2.2.2 Kata kerja
                        2.2.3 Kata sifat
                        2.2.4 Kata tugas
                                    * Kata hubung
                                    * Kata keterangan
                                    * Kata sendi

            2.3 Pembentukan kata
                        2.3.1 Imbuhan kata nama
                        2.3.2 Imbuhan kata kerja
                        2.3.3 Istilah pinjaman
            2.4 Lain – lain
                        2.4.1 Kata bilangan
                        2.4.2 Kata istilah
                        2.4.3 Penjodoh bilangan
                        2.4.4 Bentuk jamak
                        2.4.5 Hukum D-M
                                               
3.0 ANALISIS KESALAHAN PENGGUNAAN TATABAHASA OLEH MURID DI DALAM BILIK DARJAH
Kesalahan tatabahasa memberi maksud penggunaan semua bentuk kesalahan bahasa yang melanggar peraturan bahasa samada ejaan, perkataan atau susunan frasa serta ayat dalam pembinaan ayat yang gramatis. Kesalahan ini melibatkan kesalahan hukum tatabahasa.
            i. Kesalahan dalam penggunaan Kata Ganti Diri
Kata Ganti Diri ialah kata yang digunakan untuk menunjukkan diri orang tertentu iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga.
            a) Kata Ganti Diri orang pertama – saya, aku, beta, daku, patik, kami, kita dan hamba.
            b) Kata Ganti Diri orang kedua – anda, engkau, awak, kamu, kalian, tuanku, dan dikau.
            c) Kata Ganti Diri orang ketiga – ia, dia, mereka, baginda, beliau dan –nya.
Di antara kata – kata ganti diri ini, ada yang membawa maksud tunggal ( satu ) dan ada yang membawa maksud jamak ( lebih daripada satu). Setiap kata ganti diri mempunyai tugas atau fungsi yang berlainan.
            Contoh kesalahan
            Beliau ditangkap kerana mencuri. ( salah )
            Dia ditangkap kerana mencuri. ( betul )
Analisis
Kata ‘beliau’ hanya boleh digunakan khusus untuk orang yang dihormati seperti ibu bapa, pegawai, menteri dan sebagainya.
            ii. Kesalahan dalam penggunaan kata sendi
Kata sendi ialah kata yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi bertugas untuk menghubungkan frasa nama dengan kata – kata atau frasa – frasa lain dalam ayat.
Contoh kata sendi ialah di, ke, dari, pada, kepada, daripada, dalam, akan, bagi, untuk, hingga, sampai, seperti, oleh, dengan, bagai, demi, sejak, terhadap, antara.
            Contoh kesalahan
            Dia berlari daripada rumah ke kedai. ( salah )
            Dia berlari dari rumah ke kedai. ( betul )
Analisis
Kata sendi ‘dari’ digunakan dalam hal yang ada hubungan dengan masa, tempat dan arah. Manakala kata sendi ‘daripada’ digunakan untuk hal – hal yang lebih umum, seperti untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, pertentangan dan menunjukkan keanggotaan.
            iii. Kesalahan dalam penggunaan Kata Penguat
Kata penguat seperti amat, sungguh dan sangat terbahagi kepada tiga, iaitu kata penguat bebas, kata penguat hadapan dan kata penguat belakang.
a) Kata penguat bebas
    Kata penguat bebas ini boleh hadir sebelum atau selepas kata adjektif.
Contohnya : 1. Pemandangan di tepi pantai itu sangat indah.
                    2. Pemandangan di tepi pantai itu indah sangat.          
b) Kata penguat hadapan.
    Kata penguat hadapan ini terletak di hadapan kata adjektif.
    Contohnya : 1. Harga batu permata itu paling mahal.
                        2. Pokok di belakang rumah saya terlalu tinggi.
c) Kata penguat belakang.
    Kata penguat ini terletak di belakang kata adjektif.
    Contohnya : 1. Indah nian puteri bunian.
                        2. Lambat benar bas itu sampai.
            Contoh kesalahan
            Mumia paling awal sekali diawet adalah pada 35 000 Sebelum Masihi. ( salah )
            Mumia paling awal diawet adalah pada 35 000 Sebelum Masihi. ( betul )
            Mumia awal sekali diawet adalah pada 35 000 Sebelum Masihi. ( betul )
Analisis
Kata penguat ‘paling’ dan ‘sekali’ tidak boleh diletakkan bersama di hadapan dan di belakang kata adjektif secara serentak kerana berunsur lewah dan menunjukkan darjah penghabisan. Misalnya, apabila suatu kata adjektif itu telah menggunakan imbuhan ‘ter’, maka kata penguat sekali dan paling tidak perlu lagi.

            iv. Kesalahan dalam penggunaan kata nafi
Kata nafi’ tidak’ digunakan untuk penafian dalam frasa kerja dan frasa adjektif.
Contohnya : tidak berusaha, tidak manis, tidak tinggi, tidak kaya
Kata nafi ‘bukan’ digunakan untuk penafian dalam frasa nama dan frasa sendi nama.
Contohnya : bukan di Subang, bukan kakak, bukan dari Kuantan, bukan ke Ipoh
            Contoh kesalahan
            Sani tidak ke Perlis tetapi ke Kedah. ( salah )
            Sani bukan ke Perlis tetapi ke Kedah. ( betul )
            Rumah itu bukan besar. ( salah )
            Rumah itu tidak besar. ( betul )
Analisis
Kata nafi ‘bukan’ tidak boleh digunakan bersama kata adjektif atau kata kerja menjadi predikat ayat. Kata nafi ‘bukan’ hanya boleh digunakan di hadapan frasa kerja dan frasa adjektif apabila digunakan untuk mendukung maksud pertentangan maklumat. Contohnya :  
            Dia bukan hendak bekerja tetapi hendak bermain sahaja. ( frasa kerja )
            Dia bukan sahaja cantik, malah pintar juga. ( frasa adjektif )
                                                                       





PENUTUP
Dalam hal pengajaran tatabahasa, penekanan kepada penguasaan rumus – rumus tatabahasa menjadikan guru alpa menerapkannya dalam konteks penggunaan yang wajar dan sesuai. Kebanyakan daripada kita sering memandang remeh akan ketepatan bahasa daripada segi rumus tatabahasa kerana lebih taksub kepada penguasaan aspek komunikatif bahasa. Kesannya kepada murid akan gagal atau kurang berjaya menjadikan tatabahasa sesuatu yang bermakna dalam kehidupan mereka. Barangkali pula murid mungkin boleh mengaitkan bahasa dengan kehidupan sehari – hari tetapi kurang berkeupayaan mendisiplinkan diri daripada segi penggunaan bahasa yang gramatis dan bersistem.
Kalangan guru terutama guru bahasa mempunyai impian mencipta dan menemukan kaedah pengajaran tatabahasa yang dapat mengukuhkan ketrampilan bahasa murid daripada segi sistem bahasa dan juga pragmatiknya. Kita selalu berharap melahirkan murid yang mampu menguasai rumus – rumus tatabahasa secara sedar dan sekaligus dapat menggunakannya untuk komunikasi dengan pengertian yang luas, bukan sekadar komunikasi biasa yang ditandai oleh laras “bahasa terhad” ( restricted code ) bahkan komunikasi canggih yang ditandai oleh laras “bahasa terbina” (elaborated code). Dalam konteks memenuhi peranan bahasa sebagai wahana pembinaan tamadun, ketrampilan bahasa yang sewajarnya dimiliki ialah yang dapat memenuhi keperluan asas hingga menjadi wadah pemikirn, ilmu dan budaya tinggi.