Friday 23 November 2012

Fungsi dan Kepentingan Bahasa Melayu


2.0 FUNGSI BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA PENGANTAR DI SEKOLAH
2.1 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Perpaduan Kaum
Kepelbagaian fungsi bahasa Melayu ini turut mempunyai kepentingannya yang tersendiri di mana  bahasa Melayu amat penting dalam menyatupadukan kaum – kaum di Malaysia. Bahasa Melayu yang dijadikan sebagai bahasa kebangsaan dan menjadi bahasa rasmi negara, menunjukkan bahawa terdapat semangat 1Malaysia yang ditonjolkan di situ. Menurut kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, tiada bahasa lain di Malaysia yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat negara ini. Hal ini kerana, bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling mudah untuk difahami oleh semua lapisan masyarakat dan majoriti penduduk di negara ini adalah bangsa Melayu, iaitu melebihi lima puluh peratus daripada kaum – kaum yang lain dan bahasa Melayu telah digunakan sejak dari awal lagi iaitu sebelum kedatangan kaum Cina dan India di Tanah Melayu. Apabila Tanah Melayu didatangi kaum Cina dan India, bahasa Melayu memainkan peranan sebagai bahasa perpaduan. Kaum Cina dan India ini bersedia menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan antara pelbagai kaum.
Kenyataan ini dapat dilihat dalam konteks sekolah wawasan di mana di bawah satu bumbung yang sama guru – guru  dan murid – murid dapat mewujudkan dan memelihara perpaduan kaum dengan menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu boleh dijadikan alat untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dengan menggunakan satu bahasa yang sama seterusnya diharapkan ia dapat membangunkan negara. Pelbagai kaum menggunakan satu bahasa yang mudah untuk difahami oleh semua orang, kita dapat menyampaikan maksud sesuatu perkara kepada orang lain dengan berkesan. Selain daripada itu, bahasa Melayu juga merupakan agen perpaduan negara di mana, untuk merealisasikannya, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajar 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan  antara penduduk  berbilang kaum. Perpaduan di negara ini amat penting bagi mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara.
Mereka menerima bahawa bahasa Melayu patut dipelajari oleh semua kaum agar mereka dapat berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Bahasa Melayu telah bertindak sebagai alat yang menghubungkan penutur – penutur daripada berbagai – bagai bangsa dan berupaya untuk menyatupadukan bangsa yang dikenal sebagai bangsa Malaysia.
            2.2 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Komunikasi
Komunikasi bermaksud perhubungan di antara orang dengan orang atau antara organisasi dengan organisasi, dengan menggunakan bahasa atau isyarat. Komunikasi ini boleh berbentuk lisan atau tulisan dalam erti kata yang tradisional. Bahasa ialah alat komunikasi yang menjadi media bagi seseorang untuk berhubung antara satu sama lain, melahirkan perasaan, fikiran, kehendak dan sebagainya. Malahan bahasa juga merupakan satu media untuk menguasai sesuatu bidang pengetahuan supaya memperoleh kecekapan dan kemahiran belajar dan mengajar iaitu menerima dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Seseorang boleh meluaskan pemikiran dan pengetahuan serta membolehkannya menjadi sebahagian daripada ahli masyarakatnya.
Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di peringkat sekolah menunjukkan bahasa itu digunakan untuk berkomunikasi di antara guru dengan guru, guru dengan murid, murid dengan murid dan guru dengan penjaga atau ibubapa. Komunikasi banyak hala ini dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraan untuk menyatakan cadangan dan pandangan serta perkongsian idea, permasalahan dalam pendidikan mahupun interaksi harmoni dengan masyarakat setempat.
            2.3 Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam apa jua mata pelajaran, kita tidak dapat melepaskan diri daripada menggunakan bahasa. Oleh sebab itulah dikatakan, “bahasa merentasi kurikulum” kerana bahasa merangkumi seluruh bidang pelajaran dalam sistem pendidikan, baik pendidikan secara formal mahupun tidak formal. Ini bermakna apa juga pelajaran yang disampaikan guru kepada murid ialah yang melalui perantaraan bahasa. Berkesan atau tidaknya proses pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada tingkat penguasaan bahasa yang membolehkan seseorang itu menguasai proses itu.
Maka sudah pastilah menjadi satu perkara yang biasa apabila kita dapati guru – guru akan menggunakan bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Hatta berada dalam lingkungan sekolah kebangsaan mahupun sekolah jenis kebangsaan, guru dan murid menggunakan bahasa Melayu sebagai medium bahasa yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran, lebih – lebih lagi ketika sesi pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu.

3.0 KEPENTINGAN BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN
            3.1 Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu/akademik
Faktor globalisasi dan kepelbagaian seringkali memaksa kita memilih satu – satu bahasa sebagai bahasa antarabangsa sekaligus diangkat sebagai bahasa ilmu. Jika diteliti dan diperhalusi, faktor globalisasi dan kepelbagaian juga sebenarnya memberi ruang kepada bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang penting dalam konteks di Malaysia. Dengan kata lain, bahasa Melayu sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras – laras bahasa untuk memperkata pelbagai hal baru dalam aneka bidang ilmu moden sebagaimana maksudnya sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu merupakan bahasa pengantar ilmu pengetahuan iaitu alat menyampaikan ilmu pengetahuan moden iaitu ilmu sains, teknologi, ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran dan undang – undang.
Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu mempunyai ciri keintelektualan bahasa dan kesempurnaan bahasa. Keintelektualan ini boleh dicapai melalui perbendaharaan kata dan sistem tatabahasa. Maka perancangan dan pelaksanaan bahasa baku telah dijalankan yang bertujuan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang bertaraf tinggi dan ada keselarasan dalam penggunaannya.
Bahasa Melayu yang juga menjadi bahasa pengantar ilmu di pusat pengajian tinggi di mana ia telah dipraktikkan di Universiti Kebangsaan Malaysia dari awal penubuhan sehingga kini. Universiti tersebut telah melahirkan ratusan ribu siswazah yang menerima pendidikan dalam bahasa Melayu, mengeluarkan ratusan tesis pada peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran juga dalam bahasa Melayu.  Malahan para profesor turut menyampaikan kuliah dalam bahasa Melayu.
Berdasarkan begitu banyak teks, kamus, majalah, istilah dan bahan – bahan bacaan dan rujukan sudah diterbitkan untuk kegunaan pelajar di pusat – pusat pengajian tinggi baik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun penerbit swasta dan berpegang  kepada hakikat bahawa bahasa Melayu sudah mempunyai pelbagai laras bahasa, kita dengan penuh yakin menyatakan bahawa bahasa Melayu sudahpun berjaya sebagai bahasa ilmu.

                     3.2 Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
Bahasa rasmi merupakan bahasa yang diberikan status sedemikian secara sah oleh sesebuah negara, negeri atau wilayah. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi seperti dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem pendidikan, urusan perdagangan dan perusahaan, kehakiman, upacara rasmi dan antarabangsa. Bagi sesetengah negara, bahasa rasmi digunakan oleh kerajaan dan pemerintah dalam dokumen rasmi kerajaan berbanding penggunaan  bahasa kebangsaan.
Dalam konteks Malaysia, khasnya sistem pendidikan, bahasa rasmi bererti pelaksanaan bahasa Melayu sebagai wahana pembinaan negara dalam semua urusan, terutama urusan pentadbiran dan dokumentasi sistem pendidikan. Ianya tergolong dalam bahasa inklusif di mana bahasa yang ditempatkan atas bahasa atau bahasa – bahasa sedia ada. Bahasa rasmi juga dianggap sebagai lambang serta simbol identiti sebuah negara merdeka. Bahasa rasmi merupakan bahasa yang dipilih untuk tujuan urusan seharian, dan fungsinya pula dapat memenuhi beberapa kegiatan di setiap peringkat dan jabatan dalam sektor pendidikan. Pegawai – pegawai pendidikan bermula dari peringkat penggubal hingga ke peringkat pelaksana menggunakan bahasa lisan bahasa Melayu sewaktu menjalankan tugas – tugas rasmi ataupun tidak rasmi. Kebanyakan daripada pegawai atau ahli akademik menggunakan bahasa Melayu ini sebagai bahasa rasmi ketika mengadakan mesyuarat, taklimat, bengkel, seminar dan sebagainya.
Begitu juga media yang digunakan dalam segala urusan surat – menyurat samada dalam dan antara jabatan termasuklah laman – laman sesawang semua penggunaan bahasa adalah bahasa Melayu. Tidak terkecuali apa – apa jua bentuk dokumen dan rekod kerajaan, undang – undang dan peraturan serta penulisan semua jenis borang urusan rasmi adalah di dalam bahasa Melayu.

            3.3 Bahasa Melayu sebagai bahasa peperiksaan
Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar diperkuatkan lagi dalam sistem peperiksaan dengan menjadikan kelulusan dalam matapelajaran bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan sijil. Bermula dengan penggubalan soalan hinggalah soalan itu ditadbir, bahasa Melayu tetap memainkan peranannya sebagai bahasa peperiksaan utama. Begitu juga bahasa Melayu menjadi syarat wajib untuk pelajar lulus dalam ujian lisan bahasa Melayu. Soalan – soalan yang disediakan bagi setiap  mata pelajaran juga menggunakan bahasa Melayu melainkan mata pelajaran – mata pelajaran tertentu seperti bahasa Inggeris, Tamil, dan Cina.
Penyata Rahman Talib telah mengesyorkan supaya Menteri Pelajaran menetapkan kelulusan dalam bahasa Melayu menjadi syarat wajib untuk kemasukan ke mana – mana skim latihan perguruan dan memilih bakal guru pelatih, keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang mempunyai kelulusan dalam bahasa Melayu.